Peristiwa Mendukacitakan Yang Berlaku Pada Bulan Ramadan



Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera


peristiwa mendukacitakan yang berlaku pada bulan Ramadan






Peristiwa mendukacitakan yang berlaku pada bulan Ramadan   |   Antara peristiwa mendukacitakan yang berlaku pada bulan Ramadan ialah kewafatan Sayidina Ali r.a. yang menandakan berakhirnya tampuk pemerintahan Khulafa’ al-Rashidin.

Pada pagi 19 Ramadan tahun 40 Hijrah, Sayidina Ali r.a. telah ditetak di kepala ketika mengerjakan solat Subuh di Kufah. Perbuatan jenayah ini dilakukan oleh Abdul Rahman bin Muljim al-Muradi, yang merupakan salah seorang golongan Khawarij. Ia dilakukan olehnya kerana tidak berpuas hati dengan Sayidina Ali r.a. yang berjaya menumpaskan golongan Khawarij dalam Perang Nahrawan.

Golongan Khawarij pada asalnya adalah golongan yang menyatakan wala' kepada Sayidina Ali r.a, dan bersama beliau dalam perjuangan menentang musuh beliau. Namun akhirnya, mereka menarik balik wala' dan keluar dari jama'ah, apabila Sayidina Ali r.a. bersetuju untuk proses rundingan Tahkim antara beliau dan pihak lawan dalam Perang Siffin. Pada pandangan mereka, Sayidina Ali r.a. telah sesat dan kafir apabila bersetuju dengan proses Tahkim, padahal Sayidina Ali r.a. melakukan sedemikian atas tekanan daripada pihak mereka sendiri, yang termakan dengan propaganda pihak lawan menjulang al-Quran apabila Sayidina Ali r.a. sudah hampir mencapai kemenangan dalam perang tersebut.

Tindakan golongan Khawarij yang sanggup memerangi dan membunuh Sayidina Ali r.a. hanyalah menyerlahkan sifat munafik yang terpendam dalam hati, kerana Sayidina Ali r.a. pernah menyatakan:

وَالَّذِي فَلَقَ الْحَبَّةَ، وَبَرَأَ النَّسَمَةَ، إِنَّهُ لَعَهْدُ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيَّ: أَنْ لَا يُحِبَّنِي إِلَّا مُؤْمِنٌ، وَلَا يُبْغِضَنِي إِلَّا مُنَافِقٌ.

"Demi Tuhan yang membelah biji benih dan menciptakan manusia, sesungguhnya ia adalah janji Nabi al-Ummi SAW kepadaku: bahawa aku tidak dicintai melainkan oleh orang mukmin, dan aku tidak dibenci melainkan oleh orang munafik". (Sahih Muslim)

Setelah dua hari terlantar sakit, Sayidina Ali r.a. pun menghembuskan nafas terakhir pada 21 Ramadan. Selepas kewafatan beliau, Sayidina Hasan r.a. telah menyampaikan satu ucapan yang menyentuh hati, dalam keadaan berpakaian hitam. Antara kandungan ucapan beliau ialah:

لَقَدْ فَارَقَكُمْ رَجُلٌ بِالْأَمْسِ، لَمْ يَسْبِقْهُ الْأَوَّلُونَ بِعِلْمٍ، وَلَا يُدْرِكُهُ الْآخِرُونَ، كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْعَثُهُ بِالرَّايَةِ : جِبْرِيلُ عَنْ يَمِينِهِ، وَمِيكَائِيلُ عَنْ شِمَالِهِ، لَا يَنْصَرِفُ حَتَّى يُفْتَحَ لَهُ.

"Demi sesungguhnya, seorang lelaki telah meninggalkan kamu semalam, yang mana orang-orang terdahulu tidak mendahului beliau dengan ilmu, dan orang-orang terkemudian tidak dapat mengejar beliau. Rasulullah SAW dahulu mengutuskan beliau dengan panji perang, Jibril di sebelah kanan beliau, dan Mikail di sebelah kiri beliau, beliau tidak beredar sehinggalah dibukakan untuk beliau". (Hadis hasan riwayat Ahmad)

Kewafatan Sayidina Ali r.a. menandakan bermulanya satu era baru dalam sejarah umat Islam, yang berbeza daripada era sebelumnya. Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan taufiq kepada kita semua untuk terus istiqamah dalam perjuangan Islam sehingga akhir hayat.



Dipetik Dari fb:
https://www.facebook.com/datonikamar
MOHD AMAR ABDULLAH | 23 RAMADAN 1442
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim


Sekian " Terima Kasih " 

Catat Ulasan

0 Ulasan
Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!